Sunday, April 1, 2012

Keluarga Sarjan Manja terima bantuan RM22,500


MUAR: Keluarga Allahyarham Sarjan Manja Manap yang terbunuh ditembak penjenayah dalam kejadian rompakan di sebuah rumah di Jalan Haji Jaib, dekat sini pada 1 Ogos lalu, menerima sumbangan RM22,500 hasil kutipan derma anggota polis di seluruh negara.
Rakan Allahyarham yang cedera dalam kejadian itu, Koperal Mohd Razali Abu Bakar turut menerima sumhangan berjumlah RM9,600. Sumbangan itu diserahkan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Ali kepada isteri Allahyarham Manja, Junainah Piman. Kamarudin berkata, sumbangan ikhlas itu adalah simbol keprihatinan setiap warga polis terhadap rakan seperjuangan dan keluarga mereka bagi meringankan beban kehidupan mereka terutama menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

“Hasrat pucuk pimpinan pasukan adalah supaya setiap balu, anak dan ahli keluarga polis yang terkorban atau tercedera ketika bertugas dapat menyambut kedatangan Syaval dalam suasana yang sama seperti lalu.

“Kami berharap sumbangan itu dapat memberi keceriaan kepada keluarga Allahyarham Manja menyambut hari raya nanti, selain sebagai persediaan persekolahan anak,’ katanya pada majlis penyerahan cek sumbangan itu dan berbuka puasa di Dewan Serbaguna Perumahan Polis, di sini, kelmarin.

Katanya, pasukan juga tidak pernah mengabaikan kebajikan warga PDRM dan sentiasa memastikan anggota keluarga mereka tidak terkecuali mendapat bantuan sewajarnya. Kamaruddin berkata, sumbangan itu hasil kutipan yang berbeza daripada sumbangan Tabung Kebajikan Polis dan insurans kelompok.

Beliau berkata, sumbangan itu juga adalah satu cara menunjukkan semangat dalam pasukan bagi meringankan beban yang dipikul anggota polis dan keluarga mereka yang mendapat kemalangan atau kecederaan. Sebelum ini Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPD) menyerahkan cek pampasan insurans Takaful Berkelompok berjumlah RM29,985 kepada balu Allahyarham Manja. Selain itu Allahyarham turut diberikan kenaikan pangkat sarjan secara posthumous sebagai menghargai pengorbanan dan semangat juang tinggi dalam menjalankan tugas.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam 1 Ogos lalu, Allahyarham bersama rakan setugasnya, Mohd Razali yang turut cedera ditembak, bersama dua lagi anggota unit kereta peronda (MPV) tiba di rumah berkenaan selepas menerima maklumat awal mengenai kejadian rompakan.

Ketika polis tiba, dua penjenayah itu keluar rumah dan melepaskan sekurang-kurangnya llma das tembakan dari jarak dekat. Satu tembakan mengenai Manja, manakala satu lagi mengenai bahu kiri Mohd Razali.

Penjenayah itu kemudian melarikan diri dengan BMW milik mangsa rompakan dan membawa bersama anak ahli perniagaan itu sebagai tebusan. Bagaimanapun tebusan itu ditemui selamat dengan tangannya diikat di sebuah pondok di kebun buah di Parit  Limbung, kira-kira 10 kilometer dari rumahnya, keesokan paginya.

Kedua-dua penjenayah itu ditahan di Batu Pahat, tiga hari selepas kejadian dan polis turut merampas dua pistol yang dipercayai digunakan dalam rompakan berkenaan.