Wednesday, April 20, 2011

Apakah Takaful / Insurans Yang Anda Ambil?


Apakah Takaful / Insurans Yang Anda Ambil?
www.afyan.com
“Sungguh banyak produk takaful di pasaran!”
Ada pelbagai produk takaful di pasaran; Takaful Simpanan (Saving Takaful), Takaful Pendidikan (Education Takaful), Takaful Kesihatan (Medic Takaful), Takaful Penykit Kritikal (Critical Illness Takaful), Takaful Khusus Untuk Wanita (Women Special Tekaful), Takaful Berkaitan Pelaburan (Investment-Link Takaful), Takaful Warga Emas (Senior Citizens Takaful), Takaful Kemalangan Peribadi (Personel Accident Takaful) dan sebagainya.
Ya, terlalu banyak produk takaful di pasaran sekarang. Pertambahan syarikat-syarikat takaful beberapa akhir belakangan ini merancakkan lagi industri takaful di Malaysia. Persaingan antara mereka memberi pilihan kepada para pelanggan untuk mendapatkan yang terbaik untuk diri dan keluarga mereka.
“Jadi, polisi yang mana satukah yang patut saya ambil?”
Secara umunya, sebanyak mana produk yang ada di pasaran atau sebanyak mana produk yang anda ambil, hanya ada 4 sahaja kategori perlindungan takaful yang anda perlukan.
Ya, ada empat sahaja, iaitu;
1. Perlindungan Kematian dan Lumpuh (Life)
2. Perlindungan Penyakit Kritikal (Critical Illness)
3. Perlindungan Rawatan Hospital dan Pembedahan (Hospital and Surgical)
4. Perlindungan Kemalangan Diri.(Personel Accident)
4 kategori takaful 300x262 Apakah Takaful / Insurans Yang Anda Ambil?
Keempat-empat perlindungan ini saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Selepas seseorang menyertai keempat-empat pelan takaful ini barulah dia memikirkan untuk polisi-polisi lain seperti pendidikan, persaraan, invstment, penyakit khusus wanita dan sebagainya.
“Bagaimanakah keempat-empat jenis perlindungan ini berfungsi?”
Keempat-empatnya kategori ini saling lengkap-melengkapi antara satu lain. Ia memberi perlindungan untuk 4 jenis musibah yang jarang-jarang berlaku di dalam hidup kita tetapi memberi impak yang cukup besar sekiranya ia berlaku.
Kategori Pertama: Takaful Perlindungan Kematian dan Lumpuh
Secara umumnya, bukan semua orang layak untuk mengambil perlindungan takaful. Seseorang yang layak mengambil polisi mestilah mempunyai dua syarat utama ini iaitu; HIDUP dan SIHAT, dan pengakhiran hidup ini adalah kematian. Jadi di sinilah perlindungan takaful untuk kematian berfungsi. Ia memberi pampasan tunai kepada keluarga si mati tadi untuk meneruskan komitmen kewangan keluarga tersebut.
Sebagai contoh, jika seseorang pemegang polisi tadi seorang suami dan juga ayah, maka wang pampasan perlindungan ini diperoleh oleh isteri dan anak-anaknya. Maka dengan wang pampasan ini, isteri dan anak-anaknya dapat meneruskan hidup seolah-olah pendapatan suami dan ayah mereka masih berjalan sekalipun beliau sudah tiada. Apa pun, takaful tidak dapat menggantikan seratus peratus tempat suami atau ayah tersebut, namun ia meringankan beban keluarganya.
Kategori Kedua: Takaful Penyakit Kritikal
Seperti kategori pertama, pampasan untuk penyakit kritikal juga dalam bentuk tunai kepada pemegang polisi. Ia memberi perlindungan sebaik sahaja pemegang polisi menghidap salah satu daripada 40 jenis penyakit yang dilindungi seperti stroke, kanser, koma, sakit jantung dan sebagainya.
Perlu diingatkan di sini, ia memberi pampasan HANYA selepas disahkan oleh doktor. Fungsi perlindungan ini juga sama seperti kategori pertama iaitu untuk menyara hidup pemegang polisi serta keluarganya selepas menghidap penyakit kritikal, kerana selalunya setelah menghidap penyakit tersebut sudah tentu beliau tidak dapat bekerja sebagaimana biasa. Maka sudah tentu beliau terpaksa berhenti kerja. Jadi di sinilah fungsi takaful ini untuk membantu menggantikan pendapatan pemegang polisi.
Kategori Ketiga: Takaful Perlindungan Kemalangan Diri
Takaful jenis ini adalah yang paling murah di pasaran. Malah kadang-kadang ia diberikan percuma apabila anda membeli rumah atau membuka akaun simpanan di bank atau menandatangani borang kad kredit.
Ia bukanlah perlindungan untuk kemalangan kereta. Takaful kereta hanya memberi pampasan kepada kereta sahaja, tetapi bukan kepada pemilik kereta. Maka dengan hanya mengambil polisi kemalangan peribadi, ia turut memberi perlindungan kepada pemilik kenderaan apabila berlaku kemalangan.
Ia meliputi perlindungan kecederaan, lumpuh sementara, putus anggota lumpuh kekal dan juga kematian akibat kemalangan. Sebagaimana kategori pertama, dan kedua, ia memberi pampasan dalam bentuk tunai.
Kategori Keempat: Takaful Rawatan Hospital dan Pembedadahan.
Ia juga dikenal sebagai medical card atau medic assist atau insurans kesihatan. Ramai yang tersalah anggap bahawasanya dengan memiliki perlindungan penyakit kritikal mereka tidak perlu lagi kepada perlindungan rawatan hospital.
Sebenarnya, perlindungan penyakit kritikal memberi pampasan untuk sara hidup pemegang polisi, sebaliknya perlindungan rawatan hospital memberi pampasan dalam bentuk pembayaran bil di hospital. Ia tidak memberi sebarang nilai tunai kepada pemegang polisi, sebagaimana perlindungan takaful kategori pertama, kedua dan ketiga.
Tidak seperti perlindungan penyakit kritikal, ia tidak semestinya seseorang perlu menghidap penyakit kritikal untuk mendapat pampasan perlindungan ini. Sebaik sahaja kemasukan ke hospital, ia terus memberi pampasan kepada pemegangnya dengan cara pembayaran bil.
“Saya memiliki medical card dengan RM 500,00.00, bukankah ia sudah mencukupi tanpa mengambil polisi penyakit kritikal?”
Andaikan anda dimasukkan ke hospital dan segala bil rawatan hospital ditanggung oleh medical card tersebut. Disebabkan oleh penyakit ini, anda terpaksa berhenti kerja. Jadi, bagaimanakah dengan kehidupan anda dan keluarga anda selepas itu? Adakah medical card dapat membantu anda membayar sewa rumah, ansurans kereta, makan minum, belanja dapur, belanja anak, bil telefon dan sebagainya?
Sudah tentu tidak! Bukankah sudah disebutkan tadi, ia saling melengkapi.
“Adakah saya perlu ambil semua keempat-empat jenis perlindungan di atas?”
“Sekiranya saya memiliki lebih daripada satu polisi, adakah saya boleh membuat tuntutan daripada semua polisi saya?”
“Berapakah kos yang paling murah untuk saya memiliki keempat-empat perlindungan di atas?”

Thursday, April 14, 2011

Minda: Perancangan harta


HASSAN meninggal dunia ketika berusia 63 tahun. Beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga anak lelaki. Sepanjang hayatnya, Hassan bekerja keras untuk menyara keluarga kerana menyedari pentingnya membina, melindungi dan mengekalkan kekayaan.
Beliau menyedari betapa pentingnya perancangan harta pusaka kerana beliau mahu kebajikan keluarganya terjamin selepas ketiadaannya. Beliau menulis wasiat bagi menetapkan cara harta pusakanya dibahagikan. 
Selepas meninggal dunia, wasi atau pentadbir harta pusaka melangsaikan semua hutangnya termasuk zakat yang belum ditunaikan, memindahkan hak milik rumah kepada balunya seperti yang diwasiatkan dan mengagihkan baki aset menurut wasiatnya.

Namun begitu, bukan semua orang berpandangan jauh seperti Hassan yang merancang pembahagian harta pusakanya kerana didapati masih ramai tidak berbuat demikian.

Ada laporan mendedahkan aset dan harta pusaka bernilai RM40 bilion yang ditinggalkan si mati di Malaysia tidak dituntut kerana tiada perancangan harta pusaka. Dalam pada itu, aset yang tidak dituntut seperti wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, simpanan bank, kenderaan, hartanah dan manfaat insurans boleh dibekukan jika berlaku perebutan harta pusaka antara waris si mati.

Jadi, apakah yang menyebabkan sejumlah besar aset ini tidak dituntut? Adakah masyarakat Islam kurang prihatin atau tidak sedar mengenai cara untuk menguruskan harta benda mereka?

Ini tidak seharusnya berlaku kerana pembahagian kekayaan adalah penting dalam perancangan kewangan Islam, selari dengan usaha membina, melindungi dan mengekalkan kekayaan berasaskan syariah. Ia sudah wujud sejak zaman Nabi Muhammad.

  • Bina, lindungi dan kekalkan kekayaan anda mengikut cara Islam 

    Perlindungan kekayaan membabitkan perancangan aliran tunai, perancangan cukai, perancangan jaminan keselamatan keluarga, perancangan pendapatan hilang upaya dan perancangan pendapatan penyakit kritikal. 

    Dalam Islam, konsep perlindungan kekayaan berbeza daripada konsep perlindungan konvensional kerana takaful bermakna bersama, iaitu sekumpulan peserta bersetuju untuk bersama-sama menjamin perlindungan satu sama lain daripada kerugian tertentu. Takaful berasaskan prinsip taawun (saling membantu) dan tabarru (derma, hadiah atau sumbangan) yang risikonya dikongsi kumpulan secara sukarela. Seperti pelan insurans konvensional, takaful (umpamanya produk takaful am dan takaful keluarga) memberikan jaminan perlindungan daripada kerugian atau kerosakan. Peruntukan ini dilihat sebagai masyarakat membantu seseorang yang kerugian. Dalam perancangan kewangan konvensional, pengumpulan harta untuk mencapai pertumbuhan modal sewajarnya dengan objektif mengekalkan kekayaan terkumpul. Pengumpulan harta mengimbangkan risiko kehilangan modal dan risiko kehilangan kuasa pembelian. Ini membabitkan strategi peruntukan aset, pelaburan dan strategi untuk mencapai kebebasan kewangan. Dalam Islam, pengumpulan kekayaan adalah berbekalkan bakat dan sumber dikurniakan Allah. Justeru, sebaik mana seseorang menguruskan kekayaannya mencerminkan sebaik mana kehidupannya. Sebelum membuat keputusan mengenai sesuatu pelaburan, umat Islam perlu memastikan saluran pelaburan yang dipilih menepati Syariah iaitu bebas daripada elemen gharar (ketidakpastian), riba (faedah), maisir (perjudian) dan halal. Kita sebenarnya tidak kekurangan saluran pelaburan yang menepati hukum Syariah dan umat Islam boleh memilih antara lain unit amanah, pelan takaful, saham, sukuk, hartanah, pelan simpanan wadiah mudarabah. Malah, kini terdapat projek pembangunan hartanah yang mematuhi syariah. Antara kaedah mengekalkan harta kekayaan termasuk menerusi wasiat keluarga, hiba, surat kuasa, perakuan harta sepencarian dan perakuan amanah. Umat Islam sedar dalam membina dan mengumpulkan kekayaan, mereka adalah pemegang amanah kepada kekayaan kurniaan Allah dan prinsip di sebaliknya tetap sama, iaitu seseorang mesti bekerja keras jika ingin mendapatkan kekayaan. Jadi, apakah yang dimaksudkan mengekalkan kekayaan dalam perancangan kewangan Islam? Dalam konteks ini ia bermakna melindungi kekayaan yang terkumpul daripada setiap risiko kewangan dan ancaman yang boleh berlaku. Ia merangkumi pengurusan kekayaan, perancangan mengehadkan liabiliti, perancangan pegangan saham perniagaan, perancangan penggantian dan pengurusan hutang. Sesiapa pun tidak sepatutnya mengalami kerugian yang sia-sia disebabkan nasihat pelaburan yang kurang baik atau kegagalan untuk melindungi aset mereka. Umat Islam juga mempunyai kewajipan untuk memastikan kekayaan mereka dibahagi secara saksama di antara ahli keluarga, semasa mereka hidup dan selepas mereka mati. Faraid (pembahagian harta pusaka berasaskan hukum Islam) memainkan peranan penting dalam perancangan harta pusaka Islam. Bagaimanapun, dalam faraid, terdapat unsur fleksibel yang tidak disedari ramai orang, fleksibiliti yang melindungi keperluan individu apabila membuat perancangan pembahagian harta pusaka. Ramai salah anggap seseorang tidak perlu membuat persediaan memandangkan semua boleh diuruskan mengikut faraid. Ini benar, tetapi fleksibiliti dalam faraid dan keupayaan untuk memutuskan apa yang boleh dilakukan sebelum kematian mengikut keperluan individu perlu diberi perhatian umat Islam dalam perancangan pembahagian harta pusaka. Selain itu, di bawah peraturan faraid, waris terdekat bukan beragama Islam, anak angkat atau anak luar nikah, tidak berhak mewarisi harta pusaka peninggalan umat Islam. Satu elemen penting ‘perancangan harta pusaka Islam’ ialah pelantikan wasi atau pentadbir harta pusaka yang boleh menimbulkan banyak kerumitan jika dilaksanakan selepas kematian. 

  • Instrumen pembahagian harta pusaka

    Bagaimanakah anda boleh memastikan harta pusaka dan kekayaan dibahagikan di antara waris yang anda pilih? Kita lihat pilihan yang ada.

    Wasiat adalah dokumentasi sah yang menetapkan bagaimana anda membahagikan aset apabila meninggal dunia. Ini satu daripada pelbagai cara untuk memperoleh dan membahagikan kekayaan dalam Islam.

    Fleksibiliti dalam wasiat membolehkan umat Islam mewasiatkan sebahagian harta pusaka yang boleh diwasiatkan menurut kemahuannya, termasuk kepada bukan Islam. Ini satu bentuk hadiah atau pemberian yang dilaksanakan selepas kematian pewasiat dan pemberian ini juga dikenali sebagai wasiyah. Jumlah wasiyah tidak boleh melebihi satu pertiga daripada jumlah aset dan waris yang layak atau sah tidak layak mendapat wasiyah.

    Sementara itu, hibah adalah pemindahan harta berbentuk ihsan iaitu seseorang memberikan hadiah tanpa niat menerima apa-apa balasan sebelum kematiannya. Produk Pri-Hibah yang ditawarkan CIMB Wealth Advisors Bhd (CWA) bersama as-Salihin Trustee Bhd adalah kombinasi Hibah Islam dan Amanah Islam.
    Satu daripada kelebihan instrumen ini ialah aset Pri-Hibah tidak dianggap sebagai sebahagian daripada harta pusaka seseorang (kerana ia berkuat kuasa serta-merta). Semua adalah mengikut kehendak pewasiat kerana ia tidak tertakluk di bawah peraturan pembahagian secara faraid.

    Oleh yang demikian, ia boleh digunakan untuk mengimbangkan pembahagian. Dengan Pri-Hibah, kita boleh memastikan kepentingan penerima yang kita pilih akan terjaga sekalipun jika kita kehilangan upaya dan bukan selepas kematian saja.

    Di bawah peraturan pembahagian faraid, isteri layak mendapat satu perlapan bahagian daripada harta pusaka peninggalan suami. Ini bermakna sekalipun jika suami meninggalkan harta pusaka bernilai RM1 juta, balunya hanya layak mendapat RM125,000. Adakah ini mencukupi untuk menampung keperluannya?

    Dalam konteks ini, kita boleh menggunakan perakuan ‘harta sepencarian’ kerana ia merangkumi harta sepencarian yang diperoleh suami dan isteri sepanjang perkahwinan mereka. Dengan perakuan harta sepencarian, kedua-dua pihak boleh membuat keputusan dan mencapai persetujuan mengenai jumlah pembahagian semasa hayat mereka. Ini membolehkan balu menuntut bahagiannya daripada harta pusaka arwah suami sebelum pembahagian dibuat mengikut hukum faraid. Perakuan harta sepencarian juga mempercepatkan proses pembahagian kerana pihak yang terbabit tidak perlu ke mahkamah untuk menuntut bahagian masing-masing.

    Ramai antara kita membuat persediaan untuk masa depan keluarga dan orang yang disayangi, tapi berapa ramai yang membuat perancangan untuk jangka panjang?

    Memandangkan kita mempunyai banyak pilihan, tidak ada sebab mengabaikan atau melengahkan perancangan harta pusaka yang ada. Jadi, sambil bekerja untuk melabur dan melindungi kekayaan, anda patut membuat perancangan untuk mengekalkannya demi kepentingan keluarga anda.

  • Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Wealth Advisors Berhad (CWA)