HASSAN
meninggal dunia ketika berusia 63 tahun. Beliau meninggalkan seorang
isteri dan tiga anak lelaki. Sepanjang hayatnya, Hassan bekerja keras
untuk menyara keluarga kerana menyedari pentingnya membina, melindungi
dan mengekalkan kekayaan.
Beliau
menyedari betapa pentingnya perancangan harta pusaka kerana beliau mahu
kebajikan keluarganya terjamin selepas ketiadaannya. Beliau menulis
wasiat bagi menetapkan cara harta pusakanya dibahagikan.
Selepas
meninggal dunia, wasi atau pentadbir harta pusaka melangsaikan semua
hutangnya termasuk zakat yang belum ditunaikan, memindahkan hak milik
rumah kepada balunya seperti yang diwasiatkan dan mengagihkan baki aset
menurut wasiatnya.
Namun begitu, bukan semua orang berpandangan jauh seperti Hassan yang
merancang pembahagian harta pusakanya kerana didapati masih ramai tidak
berbuat demikian.
Ada laporan mendedahkan aset dan harta pusaka bernilai RM40 bilion yang
ditinggalkan si mati di Malaysia tidak dituntut kerana tiada perancangan
harta pusaka. Dalam pada itu, aset yang tidak dituntut seperti wang
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, simpanan bank, kenderaan, hartanah dan
manfaat insurans boleh dibekukan jika berlaku perebutan harta pusaka
antara waris si mati.
Jadi, apakah yang menyebabkan sejumlah besar aset ini tidak dituntut?
Adakah masyarakat Islam kurang prihatin atau tidak sedar mengenai cara
untuk menguruskan harta benda mereka?
Ini tidak seharusnya berlaku kerana pembahagian kekayaan adalah penting
dalam perancangan kewangan Islam, selari dengan usaha membina,
melindungi dan mengekalkan kekayaan berasaskan syariah. Ia sudah wujud
sejak zaman Nabi Muhammad.
Bina, lindungi dan kekalkan kekayaan anda mengikut cara Islam
Perlindungan
kekayaan membabitkan perancangan aliran tunai, perancangan cukai,
perancangan jaminan keselamatan keluarga, perancangan pendapatan hilang
upaya dan perancangan pendapatan penyakit kritikal.
Instrumen pembahagian harta pusaka
Bagaimanakah anda boleh memastikan harta pusaka dan kekayaan dibahagikan
di antara waris yang anda pilih? Kita lihat pilihan yang ada.
Wasiat adalah dokumentasi sah yang menetapkan bagaimana anda
membahagikan aset apabila meninggal dunia. Ini satu daripada pelbagai
cara untuk memperoleh dan membahagikan kekayaan dalam Islam.
Fleksibiliti dalam wasiat membolehkan umat Islam mewasiatkan sebahagian
harta pusaka yang boleh diwasiatkan menurut kemahuannya, termasuk kepada
bukan Islam. Ini satu bentuk hadiah atau pemberian yang dilaksanakan
selepas kematian pewasiat dan pemberian ini juga dikenali sebagai
wasiyah. Jumlah wasiyah tidak boleh melebihi satu pertiga daripada
jumlah aset dan waris yang layak atau sah tidak layak mendapat wasiyah.
Sementara itu, hibah adalah pemindahan harta berbentuk ihsan iaitu
seseorang memberikan hadiah tanpa niat menerima apa-apa balasan sebelum
kematiannya. Produk Pri-Hibah yang ditawarkan CIMB Wealth Advisors Bhd
(CWA) bersama as-Salihin Trustee Bhd adalah kombinasi Hibah Islam dan
Amanah Islam.
Satu daripada kelebihan instrumen ini ialah aset Pri-Hibah tidak
dianggap sebagai sebahagian daripada harta pusaka seseorang (kerana ia
berkuat kuasa serta-merta). Semua adalah mengikut kehendak pewasiat
kerana ia tidak tertakluk di bawah peraturan pembahagian secara faraid.
Oleh yang demikian, ia boleh digunakan untuk mengimbangkan pembahagian.
Dengan Pri-Hibah, kita boleh memastikan kepentingan penerima yang kita
pilih akan terjaga sekalipun jika kita kehilangan upaya dan bukan
selepas kematian saja.
Di bawah peraturan pembahagian faraid, isteri layak mendapat satu
perlapan bahagian daripada harta pusaka peninggalan suami. Ini bermakna
sekalipun jika suami meninggalkan harta pusaka bernilai RM1 juta,
balunya hanya layak mendapat RM125,000. Adakah ini mencukupi untuk
menampung keperluannya?
Dalam konteks ini, kita boleh menggunakan perakuan ‘harta sepencarian’
kerana ia merangkumi harta sepencarian yang diperoleh suami dan isteri
sepanjang perkahwinan mereka. Dengan perakuan harta sepencarian,
kedua-dua pihak boleh membuat keputusan dan mencapai persetujuan
mengenai jumlah pembahagian semasa hayat mereka. Ini membolehkan balu
menuntut bahagiannya daripada harta pusaka arwah suami sebelum
pembahagian dibuat mengikut hukum faraid. Perakuan harta sepencarian
juga mempercepatkan proses pembahagian kerana pihak yang terbabit tidak
perlu ke mahkamah untuk menuntut bahagian masing-masing.
Ramai antara kita membuat persediaan untuk masa depan keluarga dan orang
yang disayangi, tapi berapa ramai yang membuat perancangan untuk jangka
panjang?
Memandangkan kita mempunyai banyak pilihan, tidak ada sebab mengabaikan
atau melengahkan perancangan harta pusaka yang ada. Jadi, sambil bekerja
untuk melabur dan melindungi kekayaan, anda patut membuat perancangan
untuk mengekalkannya demi kepentingan keluarga anda.
No comments:
Post a Comment