KETIKA
institusi kewangan Islam berkembang pesat di seluruh dunia, termasuk
Malaysia, wujud beberapa isu yang masih dipertikai masyarakat, yang mana
ia perlu diatasi segera oleh ilmuwan Islam (ulama).
Antara
isu yang kerap ditimbulkan ialah berkenaan modal permulaan bagi bank
Islam dan syarikat Takaful, terutama yang berasal daripada syarikat
induk berorientasikan konvensional.
Saya kerap mendengar rungutan orang ramai yang mempersoalkan ‘kesucian’
modal bank Islam dan Takaful untuk permulaan perniagaan Islam.
Maklum
balas ringkas yang dapat saya berikan terhadap soalan berkenaan adalah
seperti berikut: A. Wang itu sendiri adalah ‘tidak haram’ dalam bentuk
fizikalnya tetapi menjadi ‘haram’ disebabkan jalan untuk memperolehnya
yang haram (tidak selari dengan kehendak syariah). (Ahkam al-Mal
Al-Haram, Dr Abbas Al-Baz) B. Modal dan keuntungan asal yang didapati
syarikat induk kepada bank Islam bukan semuanya berasal daripada
perniagaan haram. Sebahagiannya daripada individu dan organisasi
kerajaan dan swasta.
Jika dilihat di sisi syariah, ada perbezaan pendapat di kalangan ulama,
yang mana majoriti ulama mazhab Hanafi, Ibn Qasim daripada mazhab
Maliki, mazhab Hambali dan Ibn Taimiyah menetapkan harus melakukan
transaksi dengan pemilik modal yang bercampur antara halal dan haram,
dengan syarat majoriti modal itu datang daripada sumber halal.
Imam Ibn Nujaim pula berkata: “Apabila majoriti daripada jumlah modal
atau pendapatan halal, tidak menjadi masalah untuk menerima hadiah dan
makan hidangan mereka selama tiada tanda yang jelas menunjukkan ia
haram.
“Bagaimanapun,
jika majoriti modal atau pendapatannya haram, tidak dapat diterima
hadiah dan makanan kecuali selepas disahkan kebersihannya (halal).”
(Rujuk Ibn Nujaim, Asybah wa An Nazair) Imam Ibn Qaddamah pula berkata:
“Jika anda tahu (atau diberitahu oleh orang yang bercampur
pendapatannya) bahawa sesuatu komoditi, barang atau makanan itu daripada
sumber/modal halal, maka ia halal.” (Al-Mughni) Selain itu, ulama
terkenal seperti Imam As-Syawkani dan Al-Muhasibi pula berpendapat
‘dibenarkan secara total’ untuk bertransaksi dengan pemilik kepada
pendapatan yang bercampur antara halal dan haram, sama ada bahagian
halal dalam modal berkenaan majoriti atau minoriti. (Rujuk As-Saylur
Jarar, 3/19; Al-Makasib wa al-Rizq al-Halal) Dalil mereka banyak,
antaranya (rujuk as-Saylul Al-Jarar, As-Syawkani, 3/19): 1. Rasulullah
SAW melakukan urusan (jual beli) dengan sahabatnya daripada kalangan
penduduk Makkah sebelum Hijrah, malah juga dengan sebahagian puak kafir.
Tidak pernah didengari sebarang tegahan daripada Rasulullah SAW untuk
berurusan dengan mereka, padahal kebanyakan harta mereka daripada sumber
haram.
2. Rasulullah SAW pernah berurusan kewangan dengan rombongan ke Madinah
daripada kalangan Arab Badwi yang syirik ketika itu. Sudah tentu harta
mereka dipenuhi segala jenis hasil zalim dan haram.
3.
Ketika Rasulullah SAW berhijrah, baginda berurusan dengan orang Yahudi
daripada kalangan penduduk Madinah dan Arab Badwi yang menghalalkan
perkara haram di dalam Islam. Jika berurusan dengan mereka haram, tentu
baginda akan menegah daripada awal lagi.
4. Taqir (pengakuan) Rasulullah SAW dengan membiarkan sahabat berurusan
kewangan dengan kelompok orang zalim juga adalah satu dalil.
5. Jika Islam membenarkan berurusan dengan kafir yang bercampur haram
dan halal hartanya, tentu Islam juga membenarkan urusan kewangan dengan
Muslim yang bercampur hartanya.
6. Sahabat Rasulullah SAW juga berurusan dengan perompak Madinah pada
zaman Yazid Bin Muawiyah, tiada di kalangan mereka yang mengharamkan.
(Ihya Ulumuddin, Al-Ghazzali) 7. Jika muamalah seperti ini dihalang,
tentu keadaan sukar akan berlaku kerana pada akhir zaman seperti
sekarang, sememangnya sukar mencari sesebuah syarikat yang 100 peratus
halal pendapatannya. (Ahkam al-Mal Al-Haram, Dr Abbas) Berikutan itu,
adalah tidak benar untuk mengklasifikasikan keseluruhan modal bank
konvensional sebagai haram dan tidak boleh digunakan sebagai modal
permulaan bank Islam dan syarikat Takaful.
Tidak dinafikan, menjadi keperluan besar bagi pihak bank untuk
memastikan hanya bahagian halal digunakan dan diasingkan khas untuk
penubuhan bank Islam, Takaful atau bahagian perbankan Islamnya.
Bagaimanapun, jika masih ada sebahagian kecil atau minoriti modal yang
haram daripada jumlah keseluruhan modal digunakan sebagai modal
permulaan bagi bank Islam, saya berpendapat ia boleh dianggap sebagai
Qard Hasan (pinjaman tanpa faedah) daripada syarikat induk konvensional
kepada anak syarikatnya.
Berikutan itu, bank Islam boleh membersihkan modal yang diragui tadi
dengan membayar balik pinjaman itu, selain menggunakan sebahagian
keuntungannya untuk didermakan.
No comments:
Post a Comment