Saturday, September 22, 2012

Balu muda terharu terima RM20,000


MARAN 3 Feb. - Seorang balu muda tidak menyangka sikap menabung arwah suaminya membolehkan dia menerima wang caruman insurans berjumlah RM20,000 hari ini.
Siti Mariyam Mohd Komari 24, dari Felda Kampung New Zealand layak menerima pampasan itu selepas suaminya, Nik Azmi Nik Soh yang baru dikahwininya 2 Syawal lalu, terkorban dalam kemalangan jalan raya di Kelantan pada 30 November lalu.
Hasil perkongsian hidup yang singkat itu, Siti Mariyam kini mengandung empat bulan anak sulung mereka.
Semasa hayatnya, katanya, Nik Azmi merupakan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) KRT Desa New Zealand yang dilindungi insurans Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Takaful Ikhlas.
''Saya menganggap wang pampasan ini adalah untuk anak sulung yang sedang dikandung ini. Insya Allah saya dijangka bersalin pada Ogos ini.
''Saya berjanji akan menggunakan sepenuhnya wang pampasan untuk kegunaan pendidikan anak sulung saya ini supaya menjadi individu berguna kepada agama, bangsa dan negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Majlis penyampaian cek insurans itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil di Dewan Orang Ramai Kampung New Zealand di sini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pahang, Fairujinabu Zainal Abidin; Pengerusi KRT Desa New Zealand, Mohd. Lazim Mahusin dan wakil Takaful Ikhlas, Shahrul Azmi Ab. Rahman.
Ahmad Munawar dalam ucapannya berkata, komitmen JPNIN yang menyediakan skim insurans berkelompok banyak memberi manfaat kepada anggota peronda SRS KRT.
''Kemalangan memang tidak berbau dan anggota SRS tetap mendapat perlindungan insurans walaupun insiden itu berada di luar kawasan kediaman.
''Sekiranya ahli KRT yang menyertai SRS meninggal dunia, warisnya akan memperoleh pampasan insurans sebanyak RM20,000 bagi menampung hidup,'' katanya.
Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment