Saturday, September 22, 2012

Takaful IKHLAS serah pampasan RM20,000 kepada ibu tunggal


KUANTAN 28 Feb. - Seorang ibu tunggal, Narizan Hasbullah, 43, tidak menyangka menerima pampasan insurans sebanyak RM20,000 daripada Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful) berikutan kematian suaminya pada November tahun lalu.
Ibu kepada lapan orang anak berusia lima hingga 19 tahun itu, menerima pampasan tersebut bagi pihak suaminya, Mohd. Nasir Ahmad, 46, yang meninggal dunia akibat kecelakaan jalan raya di Kijal, Terengganu.
Cek pampasan berkenaan diserahkan oleh Pengurus Projek Skim Takaful Kemalangan KRT, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Shahrul Azmi Ab. Rahman dan turut dihadiri Pegawai Perpaduan Daerah, Sukri Omar di Felda Bukit Goh di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKK) Felda Bukit Goh, Mat Zahari Derahman yang turut mengadakan bacaan tahlil untuk Allahyarham Mohd. Nasir.
Menurut Narizan, Allahyarham suaminya memegang jawatan Pengarah Kolej Komuniti Kok Lanas, Kelantan sebelum ini dan beliau juga aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dengan memegang jawatan terakhir sebagai Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Felda Bukit Goh di sini.
"Sewaktu kejadian, Allahyarham suami dalam perjalanan menuju ke Genting Highlands untuk menghadiri kursus dan pagi itu, dia memberitahu saya dia akan pergi ke sana mengikut Jalan Gua Musang sewaktu bercakap di telefon.
"Tidak sangka pula saya dia memilih untuk ke sana melalui Jalan Kijal dan saya begitu terkejut apabila menerima berita kematiannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Katanya, sebelum ini mereka sekeluarga menetap di Felda Bukit Goh namun Allahyarham suaminya ditukarkan ke Kelantan kira-kira 10 bulan sebelum pemergiannya.
"Saya ketika itu masih menetap di Felda Bukit Goh kerana belum dapat mengikutinya ke Kelantan jadi arwah berulang alik hampir setiap minggu.
"Selepas ketiadaannya, saya sekeluarga berpindah semula ke tempat asal saya di Kelantan," katanya yang merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tendong, Pasir Mas, Kelantan.
Narizan berkata, sepanjang usia perkahwinannya selama 20 tahun, Allahyarham suaminya adalah seorang yang begitu penyayang dan rapat dengan lapan anaknya yang berusia antara lima hingga 19 tahun.
Beliau berkata, kehilangan suaminya secara mengejut membuatkan dia dan anak-anak bagaikan hilang arah.
"Namun, saya bersyukur kerana arwah sentiasa beringat demi masa depan saya dan anak-anak untuk mencarum dengan Takaful," katanya.
Sementara itu, Sukri berkata, pihaknya bersimpati dengan kehilangan yang dihadapi Narizan berikutan kematian suaminya yang merupakan ahli jawatankuasa KRT.
"Adalah diharapkan pemberian cek ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga Allahyarham untuk meneruskan kehidupan.
"Pemberian cek ini juga adalah tanda kita mengutamakan kebajikan ahli SRS dan KRT kerana mereka ini berkhidmat secara sukarela tanpa apa-apa bayaran," katanya
Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment